48 Jam di Pulau Pinang
Pulau Pinang sedang meningkat naik! Disebabkan
oleh pelaburan sektor awam dan swasta dan penyebaran tenaga kreatif - bertitik
tolak dari penyenaraian George Town, Pulau Pinang sebagai tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun
2008 - Pulau Mutiara itu memang penuh dengan daya tarikan. Daripada makanan
jalanan terbaik hinggalah restoran dan bar. Dan budaya jalanannya yang meriah
serta berpaksi pada festival keagamaan kini boleh disaksikan di Pusat Seni
Persembahan, memaparkan acara seperti Penang World Music Festival, dan juga
acara tahunan George Town Festival,
bulan yang dipenuhi pameran, pertunjukan dan pembacaan oleh artis dan penulis
tempatan dan antarabangsa. Kunjungan anda akan menjadi lebih selesa jika menginap
di hotel-hotel butik yang dibuka di
rumah kedai dan banglo era perang dunia ke-2 yang telah diubah suai; begitu
juga dengan apartment
Penang yang dilengkapi perabot bagi membuatkan anda
berasa seperti orang tempatan.
Apa yang boleh dibuat lagi semasa singgah di
bandar yang penuh dengan pemandangan yang cantik dan bersejarah itu? Ikut panduan di bawah untuk menghabiskan hari
anda di Pulau Pinang.
PEMANDANGAN DARI PUNCAK
Nikmati pemandangan menakjubkan dari Penang
Hill dengan ketinggian 2,750 kaki. Cara paling mudah untuk ke puncak adalah
dengan menaiki kereta api funikular. Di puncak, udaranya bersih dan nyaman, dan
pemandangannya tiada tolok banding: ke selatan, anda boleh nampak atap genting
yang tersusun cantik di George Town; ke utara, bukit bakau yang dibelakangi
lautan membiru. Jika anda lebih suka berjalan turun, terdapat denai yang menuju
Taman Botanik Pulau Pinang di kaki Penang Hill, kemudian anda boleh dapatkan
teksi untuk 30 minit perjalanan pulang ke George Town.
MATAHARI TERBENAM DI ESPLANAD
Ketika terik mentari mula surut, pelari,
pemilik anjing atau pengunjung mula berkumpul di Padang Kota Lama, padang
rumput yang terletak di antara dewan bandaraya dan Fort Cornwallis, binaan dari
kurun ke 18. Jenguklah kubu itu, kemudian lintas ke seberang jalan menuju
esplanad yang menyajikan pemandangan Selat Melaka.
Beli sebungkus kacang rebus daripada penjaja
di van putih dan singgahlah di kafe yang ada di esplanad, di mana anda boleh
nikmati matahari terbenam sambil minum.
RUMAH CINA
Antara bangunan ubah suai yang dibuka di
George Town, Rumah Cina adalah yang paling gah: lebih daripada 10,000 kaki
persegi yang menyediakan makanan, minuman dan barangan runcit juga menjual
barangan seni di tiga buah rumah kedai yang bersambung dalam kawasan gudang di
bandar itu.
Mulakan dengan makan malam di BTB+Resturant,
di mana menunya terdiri daripada hidangan Barat, Asia hinggalah ke Timur
Tengah; kemudian naik pula ke Galeri I dan II untuk melihat hasil tangan
seniman Malaysia dan antarabangsa. Tempat terakhir untuk mengakhiri hari anda
adalah di Canteen+Bar yang bergaya, di mana semua golongan berkumpul, dari
peminat seni hinggalah yang berkelana dan mereka yang baru pulang kerja
memenuhi ruang bar yang dibuat dari besi; sambil menonton persembahan muzik
yang ada pada setiap hujung minggu.
RAHSIA MELAYU
Buat tempahan untuk ke Nazlina Spice Station,
di mana bekas jurutera elektrik yang ceria, Nazlina Hussin membongkar rahsia masakan
Melayu seperti rendang ayam dan ikan masak lemak.
credit : www.pickles-and-spices.com
Kelas masakan bermula dengan kembara ke pasar
tempatan, di mana anda akan merasa jeruk yang diperbuat daripada buah pala
tempatan, dan diakhiri dengan jamuan. Atau sambut pagi anda dengan warga tua
di institut dim-sum Aik Hoe dan ikut kembara lawatan melawat mercu tanda seni bina bandar itu dikepalai
oleh Penang Heritage Trust.
GAMBARAN KESELURUHAN
Terletak di bekas tapak sekolah yang dibina
pada 1800-an, Muzium Negeri Pulau Pinang memberikan gambaran keseluruhan
mengenai sejarah pulau, seni bina dan rakyatnya yang berbilang kaum di ruang
pameran dua tingkat dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Banyak ruang yang
disediakan untuk mempamerkan budaya di dapur, hidangan istimewa tempatan dan
juga sejarah kopitiam di Pulau Pinang.
SEJARAH DAN KESENIAN
Di sepanjang Armenian Street, yang dinamakan
sempena komuniti pedagang termasuklah adik-beradik Sarkies yang masyhur dengan
rangkaian hotel Eastern & Oriental and Raffles, kaya dengan sejarah dan
menjadi lubuk pilihan pembeli. Selain dari pangkalan Pulau Pinang untuk Dr. Sun
Yat Sen, di mana seni bina Repulikan China yang menggulingkan Dinasti Qing
jelas kelihatan, ada empat pertubuhan Hokkien yang beroperasi di sini.
credit : E&O website
Dengan tokong yang mewah dan muzium yang kecil
dan cantik, Khoo Kongsi memang wajib dikunjungi. Lawat galeri dari Studio at
Straits, yang mempamerkan hasil karya anak tempatan, ke Galerie Seni Mutiara, yang mempamerkan hasil
karya antarabangsa di tingkat bawah, dan di atas pula, koleksi kekal hasil lukisan
artis di era awal kemerdekaan. Gelas buatan tangan ada dijual di Fuan Wong
Gallery. China Joe’s, di bawah Studio at Straits, ada menjual busana wanita dan
perabot serta kelengkapan rumah berciri kontemporari Asia. Manakala kedai
“antik” Chin Seng Leong, adalah lubuk khazanah untuk mereka yang ingin mencari
“harta karun”.
HUTAN DAN PANTAI
Bawa tuala anda dan naik teksi menuju ke Taman
Negara Pulau Pinang, hutan belantara yang dikelilingi pantai seluas 3,100 ekar
barat laut pulau itu, kira-kira 11 batu dari George Town. Selepas mendaftar di
pejabat perhutanan, anda boleh naik bot terubuk ke Monkey Beach, di mana anda
boleh berenang atau berjemur sebelum berjalan di denai yang sejauh 1.8 batu.
Pendakian itu, yang melalui denai yang berturap dan berpasir dan melintasi
beberapa teluk terpencil mengambil masa selama 90 minit.
0 Comments