Masak Lemak Cili Padi Daging Salai Memang Mantap !
Masak Lemak Cili Padi Daging Salai Memang Mantap ! Haa...dah lama tak share resipi kat sini. Ada yang tunggu ke? Akak ni tenggelam timbul dah sekarang ni. Banyak sangat urusan. Hari tu berazam nak rajin update, last last tinggal dalam draft aje. Lepas urusan kak cik masuk kolej, nak uruskan permohonan kemasukan sekolah khas untuk adik wan pulak. Sibuk yer mak anak empat ni ! Kalau anak ramai macamana pulak agaknya. Hari ni akak cuba luangkan masa menulis kat sini. Hujung minggu baru ni, kami buat stok daging salai kat rumah. Buat sendiri aje, nak beli rasa tak puas makan pulak. Beli sekilo daging batang pinang, boleh buat stok untuk beberapa kali makan. Masakan yang pertama kami cuba ialah masak lemak cili padi daging salai.
Mudah Buat Sendiri Daging Salai
Pertama kali kami cuba buat sendiri daging salai ni. Peralatan semua ada, mungkin orang lain dah lama buat tapi kami ni baru nak cuba. Secara kebetulan ada lebihan bahan perapan kambing bakar yang masih elok untuk digunakan. Beli daging batang pinang dan potong-potongkan kepada beberapa bahagian ketulan. Perap sekejap dengan rempah atau bahan perapan yang sesuai. Kalau tak ada, boleh je perapkan dengan garam, mix herb, serbuk lada hitam, sedikit sos lada hitam, perahan lemon dan gaul-gaullah. Perap ni nak bagi lebih aroma. Tak perap pun tak apa.
Inilah gajet pembakar kami. Senang nak bawa ke mana-mana. Tak ada gajet pun tak apa, ada ketul bata, dan jaring pun dah cukup untuk diy tempat pembakar.
Daging dipotong-potong dan bakar atas bara api. Lepas tutup dan biarkan 2-3 jam. Kena balik-balikkan juga supaya masak sekata.
Kami bakar dahulu sebelum hiris. Ada yang hiris-hiris dahulu daging tersebut kemudian barulah disalai. Kami bakar daging atas tempat pembakar dengan api kayu arang. Kemudian, bila daging agak masak, curahkan sedikit minyak mask atas daging dan mengenai bara di bahagian bawah. Bila dah berasap tu, tutupkan tempat pembakar supaya daging dalamnya dapat orama daging salai tu.
Hasil 'smoke beef ' yang kami buat sendiri. Bila hiris-hiris jadilah daging salai.
Agak lama jugalah biarkan daging ni atas bara api sahaja. Dah siap, sejukkan dan bahagi-bahagilah, simpan dalam peti ais. Satu bahagian, kami hiris-hiriskan untuk masak lema cili padi daging salai.
Resipi Masak Lemak Cili Padi Daging Salai
Bahan-bahan utama :
daging salai - bergantung pada banyak mana yang korang nak masak, akak guna masak semangkuk aje
beberapa biji belimbing buluh - yang ni optional, kalau ada boleh lah masukkan. Kat rumah akak tengah banyak sekarang buah belimbing buluh ni
2 batang serai dititik
1 kotak santan Kara
2 keping asam gelugor - kalau masukkan lebih belimbing buluh, kena kurangkan asam keping
Bahan-bahan kisar :
4 ulas bawang merah
Segenggam cili padi kampung (lebih pun boleh)
1 inci belacan
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
Cara Penyediaan:
Masukkan kesemua bahan kisar ke dalam periuk berserta daging salai dan renih sebentar sambil dikacau. Tuangkan santan ke dalam periuk bersama serai dan asam keping. Sentiasa kacau. Bubuh garam dan serbuk perasa jika suka. Apabila mendidih, masukkan pula belimbing dan kacau rata. Masak diatas api perlahan sehingga belimbing lembut.
Tadaaa......hasilnya. Puas makan bertambah-tambah jadinya. Lupakan diet hehehe....
Sedia untuk dihidang. Pasangkan hidangan masak lemak cili padi daging salai ini dengan telur dadar dan ikan kering. Makan dengan nasi panas-panas, memang tak nampak dah orang kiri kanan.
Kalau tak percaya, korang kena cuba .
0 Comments