Buah Cempedak Di Luar Pagar
Assalamualaikum. Lamanya tak menulis. Rindu pulak nak bercerita di sini. Banyak cerita, entah habis entahkan tidak dikongsikan. Selalu cari masa, tapi diisi pula dengan perkara lain, apatah lagi idea nak menulis ayat demi ayat hilang entah ke mana.
Pelan-pelan kita mulakan balik yer. Harap-harap masih adalah lagi yang sudi singgah membaca. Sejak beberapa minggu yang lalu, boleh dikatakan di kampung-kampung ni musim buah kunjung tiba. Buah durian, rambutan, manggis dan cempedak antara yang banyak kelihatan dijual. Meriah kalau dapat betul-betul singgah di kawasan kebun.
Beberapa tahun lepas juga, pak incik adalah menanam pokok-pokok buah di kawasan bertanah tepi taman. Oleh kerana rumah kami ni agak ke belakang sikit, jadi kuranglah sibuk dan kawasan agak luas di bahagian luar. Sebelum ni ada tanam pokok mata kucing. Puas berbuah, hampir sebahagian jiran-jiran berdekatan dapat rasa hasilnya.
Lepas tu pokok jambu air yang di tanam di luar pagar. Banyak juga buahnya. Kali ni pokok cempedak pula yang mengeluarkan hasil. Ada 3 batang pokok yang pak incik tanam dan kesemuanya mengeluarkan buah yang agak banyak juga. Pokok ni ditanam dan dijaga juga bukan tanam dan tinggal. Baja tak pernah dilupakan sebab tu hasilnya meriah.
Antara buah-buah yang dah boleh dipetik. Kena petik cepat sebelum sang monyet buat kenduri di atas pokok. Tapi ada juga yang ditinggalkan di bahagian atas, habuan monyet mencari makan.
Isinya besar dan manis. Memang puaslah makan cempedak goreng. Akak suka juga makan isi yang mentah. Manisnya..hmmmm. Bau wangi semerbak. Masa di kampung dulu, biji-biji cempedak ni akan direbus. Dah berusia ni, kuranglah sikit makan bijinya, berangin.
Susun-susun kat tepi rumah, ada jiran taman yang lalu jogging pagi-pagi, kami panggil je ambil buah-buah ni. Ada yang isi banyak, ada juga yang beberapa ulas sahaja dalam setiap biji.
Bila yang masak serentak tu banyak, kami kopek dan masukkan dalam bekas macam ni. Ada yang simpan dalam peti ais dan ada yang kami bagi kawan-kawan jauh. Simpan beberapa bekas dalam freezer, bila teringin nak makan cempedak goreng, boleh keluarkan walaupun dah habis musimnya.
Alhamdulillah, berbudi pada tanah, hasilnya boleh dikongsi bersama. Lepas ni bolehlah membaja balik, tunggu musim depan pulak.









0 Comments