Urus Emosi Untuk Kesejahteraan Dan Produktiviti Kekal Mantap. Alhamdulillah hari ini akak berkesempatan turut serta dalam program motivasi yang pengurusan tempat kerja akak adakan secara online. Walaupun sejam tapi dengan pengisian yang padat, dapat jugalah serba sedikit ilmu. Topik menarik dan sesuai dengan situasi sekarang iaitu cara urus emosi di musim pendamik supaya kehidupan sejahtera dan produktiviti kekal mantap. Sebelum akak lupa point-point pentingnya, akak share kat sini supaya serba sedikit dapat beri manfaat untuk semua yang singgah kat blog akak ni. Ceramah disampaikan oleh pakar kaunselor Hj Hushim Salleh.
Jenis Emosi
Secara dasarnya ada 4 jenis emosi yang dipunyai oleh manusia. Emosi kita sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan pada masa di mana kita berada. Semua orang ada emosi ini iaitu - gembira, sedih, marah dan takut. Dalam satu-satu waktu kita mungkin ada lebih daripada satu emosi.
Ada emosi yang baik untuk diri dan ada juga emosi yang kurang sihat dan perlu di`buang' segera. Bagaimana kita nak tahu kita berada di dalam emosi yang kurang sihat?
Tanda-tanda Emosi Kurang Sihat
Bekerja dari rumah, melayan kelas-kelas pdpr anak-anak antara yang menyumbang kepada kesibukan akak setiap hari. Orang lain mungkin lain. Sekarang ni ramai yang kehilangan pekerjaan, gaji dipotong dan macam-macam lagi. Tak salah kalau akak katakan rata-rata masyarakat di Malaysia ni memang mengalami emosi yang tidak sihat. Sebagai ahli keluarga, jiran, kawan-kawan, rakan sekerja, kita perlu tahu antara tanda-tanda yang menunjukkan kawan atau ahli keluarga kita sedang mengalami gangguan emosi. Bantu mereka antara yang terbaik boleh kita lakukan supaya mereka tidak terarah untuk membuat perkara yang memudaratkan. Antara tanda emosi kurang sihat ialah :
1) Mood yang tertekan - nampak pada mimik muka
2) Lost interest - motivasi menurun
3) Kelihatan letih
4) Perubahan berat badan - ada yang bila stress suka makan, ada juga yang kurang makan.
5) Rasa diri tidak dihargai
Penceramah kata - jangan ada emosi `tisu' dalam diri kita. Maksudnya janganlah suka sentap. Pantang salah sikit nak meraju, nak jauhkan diri, tak mau bertegur. Bahaya tu !
Urus Emosi Dengan Cara Yang betul
Bagi memastikan emosi kita sihat, kita perlu sentiasa atau selalu ada komunikasi. Komunikasi antara ahli keluarga, antara kawan, antara rakan sekerja dan jiran. Perlu cari atau luangkan sedikit masa untuk bersembang dan bercerita. Cari topik yang kita sama-sama suka dan bertukar cerita. Kalau waktu kerja tu jangan takut-takut nak bertanya pada bos kalau kita tak pasti apa yang kita buat betul atau tidak.
Buat aktiviti yang kita suka. Contoh, menulis dalam blog ni antara aktiviti yang akak suka. Sebelum ni akak rajin juga ambil job review tapi sejak PKP tak habis-habis ni, akak tak ambil dah job review. Apa yang akak tulis adalah lebih kepada pengalaman dan perkongsian yang akak rasa sesuai. Ada juga yang akak update dan perbaiki penulisan yang lepas-lepas, macam beri nafas barulah. Tak mahu dah terkejar-kejar dengan dateline. Selain itu, buatlah apa-apa hobi yang boleh release stress korang seperti memasak, menanam bunga, menjahit, membaca...hmmmm..banyak lagi lah aktiviti yang best.
Biasakan diri terus berfikiran positif. Baca benda-benda yang positif. Tengok cerita-cerita yang positif. Cakap perkara yang positif dan yang paling penting sentiasa pastikan kita berada dalam kumpulan orang-orang yang positif.
Sebagai seorang Muslim, amalan berzikir juga boleh mengurangkan stress. Jadikan zikir amalan setiap masa.
Waktu PKP ni memang agak terhad untuk melakukan riadah atau aktiviti sukan. Tapi akak bukan sejenis yang rajin bersukan. Kita cari cara lain untuk beriadah. Buat senaman-senaman mudah dengan anak-anak. Main kejar-kejar di halaman pun menarik juga. Kalau dalam rumah, boleh main sembunyi-sembunyi....boleh riuh satu rumah bila main game ni. Buat sahaja apa aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.
Setiap hari kita perlu tetapkan apakah matlamat yang kita ingin capai. Buat perancangan sehari sebelum. Contoh nya, hari ini sebaik sahaja habis waktu kerja, akak dah ada jadual untuk esok, dari mula punch in sampai punch out. Di antara masa rehat, apa perlu buat. Kalau nak sediakan makanan untuk keluarga dah plan nak masak apa. Tapi musim pkp kali ni dah agak buntu nak masak apa. Mujur ada en suami yang memang sangat banyak membantu bab penyediaan makanan setiap hari. Antara kelebihan punyai pasangan yang bekerja sendiri. Walaupun agak `sakit' kewangan kami, tapi kami cuba uruskan sebaik mungkin supaya perbelanjaan tidak terputus.
Antara Stress Dan Depressi
Stress - emosi masih terkawal. Kita masih boleh bekerja lagi. Kita masih boleh berfikir secara waras. Biasanya bila stress, kita tidur, in sya Allah hilang stress selepas bangun tidur.
Depresi - adalah kemurungan dan mereka yang depresi perlu segera dibantu. Orang yang berada dalam depresi ini selalu `overthinking', tidur tapi seperti tidak tidur. Selalu kelihatan penat. Bila tidur selalu mendapat igauan yang ngeri dan pelik. Mereka perlu segera dibantu jangan sampai orang-orang yang depressi ini mengambil tindakan buruk seperti membunuh diri.
Itulah serba sedikit perkongsian yang akan boleh tulis di sini. Moga dapat beri idea dan membantu korang dalam perjalanan hidup setiap hari. Penceramah tinggalkan kami dengan surah Al-Baqarah ayat 155;
Surah Al-Baqarah, ayat 155 bermaksud :
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
Manusia memang akan sentiasa di uji dalam pelbagai perkara, ringan ataupun berat. Sekarang ni pun kita semua sedang diuji. Moga kita kekal positif dan boleh urus emosi kita dengan baik untuk kesejahteraan bersama dan juga untuk kekal produktif.
0 Comments