Layan Nasi Goreng Pedas Berapi Lepas Hari Hujan.  Perut lapar dan hari hujan memang selalu seiring sejalan.  Bila hujan mesti rasa lapar.  Tambahan pula bila banyak kerja nak kena buat.  Makin galak perut 'bernyanyi'.  Ternampak lebihan nasi putih di dapur, dalam kepala dah terbayang-bayang alangkah nikmatnya kalau dapat layan nasi goreng pedas berapi.

Hari ini agak kalut sikit.  Selain daripada menguruskan si kecil ke sekolah, ada 2 mesyuarat yang perlu akak sertai. Dah terbayang memang tak sempat nak masak tengahari nanti.  Kami memang jarang sangat beli lauk di kedai untuk makan tengahari, seboleh mungkin akak akan cuba sediakan menu yang ringkas-ringkas sahaja. So, awal pagi dah bersilat menyediakan nasi lemak sambal ayam untuk bekal dik wan ke sekolah, sarapan merangkap makan tengahari sekali.

Bila dah awal masak, awal jugaklah habisnya. Petang dah terasa lapar. Sambil bekerja menjawap email satu persatu, sambil berkira bila dapat peluang nak menggoreng ni. Sebaik sahaja cukup waktu bekerja tamat, cepat-cepat ke dapur. Tak susah nak menyediakan nasi goreng pedas berapi ni. Tung tang tung tang tak sampai 15 minit siap.

resipi nasi goreng, masakan mudah disediakan, nasi goreng, orang kampung, hidangan waktu lapar

Resipi Nasi Goreng Pedas Berapi

Nasi putih sejuk - cukup untuk 2 orang makan
3 ulas bawang putih
4-5 ulas bawang merah
6-7 biji cili padi - kalau nak lagi pedas boleh masukkan lebih lagi
2 biji telur
sedikit ikan bilis goreng 
minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa

Bawang putih, merah dan cili padi serta ikan bilis yang dah digoreng, ditumbuk separa halus.  Kalau rencah untuk masak tak banyak, akak lebih suka tumbuk sahaja.  Beza tau rencah yang dikisar, ditumbuk atau paling malas hiris-hiris sahaja. Kalau tak percaya korang boleh cuba.  

Pecahkan telur dalam mangkuk berasingan dan kocak sebentar.  Panaskan minyak dan tumis rencah yang ditumbuk tadi sampai agak garing dan naik bau. Confirm baunya pun dah buka selera. Masukkan sedikit garam dulu agak-agak sebab ikan bilis tu dah beri rasa pada rencah tadi.  Lepas tu masukkan nasi dan kacaulah bagi rata.  Kemudian ketepikan sedikit nasi tadi dan masukkan telur.  Kacau-kacau telur sehingga agak kental (macam telur hancur) dan gaul rata dengan nasi tadi.  

Dah siap ! Nasi goreng pedas berapi ni dapat makan masa panas-panas memang sangat menyelerakan. Tak percaya korang boleh cuba.


2 Comments