Kenangan Kuih Karipap. Korang suka tak makan kuih karipap? Antara kuih kegemaran akak. Kuih karipap ni ada banyak kenangan dalam keluarga kami. Waktu kecil, arwah mak memang pakar dalam membuat kuih karipap ni. Mak buat jualan kecil-kecilan dengan meletak beberapa puluh keping kuih karipap di gerai kawan mak setiap pagi. Gerai kawan mak tu terletak berhampiran dengan sekolah dan bus stop. Jadi memang ramai orang akan singgah minum atau beli jajan di situ. Duduk kampung, gerai-gerai tepi jalan ni memang selalu jadi port mengopi.
Akak sendiri waktu tu selalu jadi pemerhati sebab biasanya yang akan tolong mak ialah kak long dan kak ngah. Setiap petang, mak akan mula masak inti karipap. Mak suka guna kentang untuk buat inti karipap. Jarang sekali mak guna ubi keledek kerana katanya ubi keledek akan jadikan inti tu lembek manakala kentang, akan kelihatan juga petak-petak potongannya.
Lepas isya biasanya mak akan mula menguli tepung. Lepas tu terus mula membuat kuih karipap. Bahagian keliman tepi karipap biasanya jadi tugas kak long atau kak ngah. Keliman mereka memang cantik, elok tersusun. Walau pun ada dijual alat membentuk karipap, tapi mak lebih suka cara manual.
Karipap arwah mam memang sedap. Tak pernah tak habis. Kadang-kadang ada juga jiran yang menempah untuk kenduri atau jamuan keluarga. Kak Long dan kak ngah pun pandai buat karipap sama macam mak buat. Akak lebih banyak memerhati. Bila dah bekeluarga, anak-anak pun suka makan karipap. Biasa kalau buat akak akan buat banyak untuk di 'frozen' kan.
Resipi Kuih Karipap Turun Temurun
Daripada pemerhatian masa sekolah dulu, akak buat cubaan sendiri. Biasanya taklah pernah menghampakan. Rasanya hampir sama. Jom akak kongsikan cara akak buat kuih karipap. Mula-mula kita buat inti karipap dahulu. Bahan-bahan seperti dalam gambar.
Kentang - potong dadu kecil
Bawang merah, bawang putih - dikisar
Rempah kari daging - boleh guna yang biasa sahaja atau campur dengan yang extra pedas
Daun kari
Sedikit daun sup - dicincang (yang ni tak masuk pun tak apa)
Daging kisar- yang ni pun optional, boleh tukar dengan ayam
Serbuk perasa ayam
Sedikit garam dan gula
Minyak untuk menumis.
Cara penyediaan inti karipap:Korang tengok ikut arah lawan jam yer. Tapi gambar pertama dan kedua tu pun dah tertukar. Ampunkan saya. Pertama sekali panaskan sedikit minyak. Tumis sedikit bawang merah dan putih yang dihiris bersama dengan daun kari. Bila dah naik bau, masukkan bawang kisar pula. Tumislah agak garing. Lepas tu masukkan daging kisar. Hancur-hancurkan daging kisar tu dahulu. Kemudian masukkan serbuk kari.
Bila pes kari tu agak-agak dah pecah minyak, masukkan kentang. Daun sup tu korang boleh masuk sekali atau masukkan kemudian. Akak senang masuk semua sekali. Gaul-gaulkan bagi rata dan tambahkan air agak-agak tenggelam kentang. Biarkanlah sampai kentang masak dan jadi pekat. Korang jangan lupa selalu kacau tau. Masak sampai kentang empuk elok. Taburkan serbuk perasa, garam dan gula serba sedikit dan rasa.
Bila inti dah siap bolehlah ketepikan supaya inti jadi sejuk dahulu. Sementara tu boleh siapkan dohnya. Doh paling senang. Bahan-bahannya tepung gandum, sedikit garam, air dan minyak masak yang dipanaskan. Kalau nak kulitnya sedikit rapuh korang boleh gunakan butter. Biasanya kalau akak guna minyak masak, sukatannya adalah secawan untuk sekilo tepung gandum. Minyak masak ni akak panaskan dulu. Kalau guna butter, ambil separuh bahagian butter sahaja dan panaskan sampai cair.
Masukkan tepung dalam bekas, tabur sedikit garam. Kemudian lubangkan di bahagian tengah mangkut tu dan curahkan minyak panas ditengah-tengah. Kaiskan tepung menutupi minyak panas tadi dan perlahan-lahan bolehlah mula menguli. Kalau rasa tepung masih melekat, letakkan sedikit air. Uli sampai dah dah tak melekat di jari.
Rehatkan doh dalam 10-15 minit. Ambil papan canai dan geleklah doh tadi. Kemudian korang gulung doh tadi dan potong atau bahagi-bahagikan berapa biji karipap yang korang nak buat. Ambil satu-satu dan gelek leper, biasanya akak akak gunakan cawan atau bekas bulat untuk tekap dan dapatkan pastri yang bulat. Letakkan inti, dan lipat dua. Tekan-tekan bahagian hujungnya dan bolehlah kelim dari hujung ke hujung. Maaflah tiada gambar semasa buat doh ni. Dah siap semua baru teringat tak ambil gambar.


Inilah hasilnya. Memang buat banyak sebab ada tetamu nak datang rumah. Boleh bekalkan mereka sama nanti.
Akak suka kulit karipap macam ni. Kalau korang nak simpan frozen, boleh goreng sedikit. Lepas tu sejukkan. Bila dah betul-betul sejuk, boleh masukkan dalam bekas dan simpan dalam freezer. Senang sahaja nak buat kuih karipap ni. Di utara ni selain karipap inti ubi, ada juga karipap sardin, karipap inti ubi lada hitam. Inti karipap ini juga korang boleh guna untuk buat samosa.
18 Comments
Uncle ni kategori 'hantu' karipap!
ReplyDeleteSama 'hantu' kita
DeleteSy suka karipap tapi tak pandai buat sendiri 😅
ReplyDeleteBuat sendiri ni sure sedap kan dan puas makan.
Betul tu, anak-anak pun suka makan, rajin lah nak buat. Kalau makan berdua saja, beli je lebih mudah.
Deletesuka karipap tp tk pernh buat sdiri...slalu mkn sbb mak kita buat jual frozen tp versi karipap pusing
ReplyDeleteMak masak mesti sedap.
DeleteSedap ni karipap ada daging kisar.
ReplyDeletePaling mudah guna daging kisar.
DeleteAaaa...sedapnya karipap kentang... tp sy x pernah lg try buat sendiri
ReplyDeleteBoleh cuba buat, senang je.
DeleteKalo ingat karipap, saya ingat saat masih study di Penang. Dekat kampus ada yg jual. Sedaaaaap sangat kak. Intinya Macam2. Ada kari ayam, udang, sardin.
ReplyDeleteMemang sedaap. Kalo dah Bali ini, makan 2 saja pun dah kenyang sampai malam.
Di Indonesia ada yg mirip karipap. Kami sebut pastel. Tapi beda isiannya. Kalo karipap isiannya kari, pastel itu isiannya telur, wortel, kentang, dan bihun. Sama2 sedap, tp beda rasa.
Area USM tu memang ramai yang menjual kuih terutama sebelah petang. Oh kena cuba nanti pastel ni. Macam-macam isiannya.
DeleteSedap ni. Saya suka versi kulit karipap begini.
ReplyDeleteWalau pun nampak tak cantik, tapi sedapkan kulit mcm ni.
DeleteSuka makan tapi tak pernah buat. Kalau buat boleh masuk banyak bahan-bahan dia. Saya suka pastri karipap yang rangup tu.
ReplyDeleteBila ramai kat rumah, rajinlah juga nak buat. Kalau anak-anak tak balik, beli sahaja.
Deletezaman sek men dulu mama sy selalu amik order karipap... laa ni dah x de daa...
ReplyDeleteKenangan kan....
Delete