Asasi Matrik Diploma Form 6 - Yang Maan Pilihan Hati?   Debaran menunggu keputusan SPM dah pun berakhir.  Sekarang ni anak-anak semua sibuk memilih haluan seterusnya.  Ketika  ni bukan lagi memilih kepada minat tapi lebih kepada layak atau tidak. Perjuangan perlu diteruskan.

Alhamdulillah result Amira bukanlah paling cemerlang, tapi sangat cemerlang pada kami.  Secemerlang abang dan kakaknya.  Walaupun selepas exam, tuan badan pun awal-awal dah macam menyerah , redha dengan apapun keputusannya. Tapi hati ibu, yakin akan beroleh keputusan baik yang pastinya membolehkan beliau terus berjuang menuntut ilmu.


sambung study, asasi, pelajar matriks, diploma
Masa ni berdebar nak tengok keputusan penuh. Alhamdulillah 8A 1B jauh lebih baik daripada keputusan trial dan memang luar jangkaan kami sekeluarga. Yalah, anak-anak ini adalah batch setahun belajar secara online di rumah dek kerana penularan covid19.  Anak-anak yang tidak melalui peperiksaan PT3.  Anak-anak yang terpaksa pulun sendiri semasa di tingkatan empat. Sebagai ibubapa, memang kami dah bersedia dengan apa juga keputusan yang diperolehi. Alhamdulillah berkat usaha dan doa.

Anak perempuan ni lain daripada anak lelaki.  Anak lelaki awal-awal dah bagitau arah tujunya.  Yang perempuan ni, lebih kepada berserah.  Sama macam maknya juga. Jadi tak bolehlah nak salahkan sesiapa. Memang kena bantu untuk buat pilihan.  Apatah lagi bila berbelah bagi untuk pilih yang A ataupun yang B.  Perlu beri kefahaman setiap bidang -  kelebihan dan kekurangan serta cabaran yang akan dan perlu diharungi.  Bukan mudah untuk berjaya tapi kalau tahu hala tuju, in syaAllah akan lebih fokus.


Asasi, Matrikulasi, Diploma dan STPM - Mana satu pilihan hati?

Masa akak belajar dulu, lepas SPM memang target nak dapat degree.  Antara diploma dan STPM, akak pilih STPM.  Tak perlu fikir panjang, tetapkan hati dan terus berjuang lagi dua tahun untuk pastikan ada tempat di universiti.  Masa tu tiada siapa pun yang guide. Cikgu-cikgu beri pandangan, mak ayah ikut sahaja apa yang kita pilih.  So pilihan memang betul-betul terletak atas tangan sendiri.

Anak-anak sekarang ada ramai yang boleh bantu beri pandangan. Info-info berkaitan juga banyak boleh diperolehi dalam laman sosial.  Apakah bezanya antara asasi, matrikulasi, diploma dan STPM.  Kesemuanya menjurus kepada peringkat yang lebih tinggi. Akak kongsikan serba sedikit info yang akak dapat sepanjang anak-anak menyambung pengajian mereka.

Abang dan kakak, keduanya memilih asasi. Dari segi masa belajar, asasi kebiasaan boleh dihabiskan dalam masa setahun, selepasa itu boleh terus sambung degree.  Asasi ada yang ditawarkan secara tertutup dan ada yang ditawarkan secara terbuka di universiti.  Apa yang dimaksudkan terbuka dan tertutup? 

Asasi tertutup ditawarkan antaranya di di UPM dan UIAM.  Di mana selepas anak-anak tamat asasi, mereka hanya boleh pilih kursus ijazah pertama yang ditawarkan di universiti yang sama. Tidak perlu lagi memohon melalui UPU, anak-anak akan diminta membuat pilihan kursus pada semester kedua asasi.  Ada yang perlukan sesi temuduga dan ada yang tidak.  Asasi tertutup ni, pelajar-pelajar biasanya adalah feeder kepada universiti berkenaan. Ada kuota yang disediakan untuk pengambilan.

Manakala asasi terbuka pula, anak-anak boleh pilih mana-mana universiti yang dalam dalam senarai UPU untuk sambung belajar.  Maknanya peluang lebih luas dan persaingan juga lebih ramai. Tempoh masa asasi adalah setahun.  Bila banyak pilihan ni boleh jadi rambang mata.  Tapi biasanya anak-anak dah tahu dah hala tujuan mereka.

Selain asasi, matrikulasi juga menjadi pilihan lepasan SPM.   Pulun habis baik, in syaAllah boleb dapat pilihan kursus dan universiti pilihan hati.  Lepasan matrikulasi mempunyai lebih banyak pilihan. Pembelajaran dijalankan di pusat-pusat matrikulasi yang disediakan. Kebanyakan jurusan matrikulasi dijalankan dalam tempoh setahun. Tapi ada jugak dijalankan dalam tempoh 2 tahun.

Ada juga yang memilih untuk meneruskan belajar di tingkatan enam dan mengambil STPM.  Jangkamasa belajar adalah 2 tahun.  Walaupun dijalankan di sekolah, pelajar ini tidak terikat denga.n uniform sekolah. Sama seperti yang lain, Form 6 sekarang ni pun dijalankan secara semester.  Peluang sambung belajar sama sahaja.

Diploma juga adalah antara pilihan yang boleh difikirkan.  Ramai juga kawan-kawan anak akak yang memilih untuk sambung diploma.  Tapi lepas diploma, korang kena bersemangat untuk teruskna pengajian ke peringkat ijazah, jangan berhenti setakat itu sahaja.  Tempoh masa pengajian diploma, ada yang tiga tahun, ada yang dua tahun setengah, bergantung kepada institusi dan kursus yang dipilih.

Pada pandangan akak, kalau anak-anak layak untuk memohon asasi, teruskan memohon.  Mohonlah mana-mana pun yang sesuai dengan keputusan yang diperolehi. Paling penting sekali adalah keinginan untuk terus belajar.

Berdebar-debar juga sekarang ni menunggu keputusan yang mana satu pilihan yang diterima.   Pada anak-anak semua, teruskan perjuangan yer !



0 Comments