Masya Allah..lama betul akak tak menulis di sini.  Macam-macam benda nak share tapi selalu kesuntukan masa untuk menulis.  Rindunya nak bercerita.  Rasanya dah hampir sebulan tak masuk sini.  Terima kasih pada yang singgah berkunjung.  Maaflah tiada cerita baru daripada akak.  Terima kasih juga pada yang meninggalkan komen, nanti akak balas pelan-pelan yer.

Kebelakangan ni memang sibuk dengan kerja hakiki, macam-macam nak kena buat, macam-macam nak kena update.  Bila balik rumah dan hari cuti, masa terisi dengan tugas-tugas lain pula.  Ada kesempatan sedikit, kepala pun dah tak berapa focus untuk menulis.

Awalnya nak menulis minggu pertama Ramadan, kononya nak cover sebanyak mana yang boleh kisah terkini, tapi dah nak hampir berakhir Ramadan, satupun akak tak buat.  Hari ni nak cuba juga habiskan satu entry sepanjang mana yang boleh.  Moga korang tak jemu membacanya.

Bagaimana dengan Ramadan kali ini? Bagaimana pula dengan persiapan menyambut kedatangan Syawal tidak berapa lama lagi?  Alhamdulillah, tahun ini sepanjang Ramadan, anak-anak ada di rumah kecuali adik Wan di asrama.  Tapi di awal berpuasa hari tu dapat jugalha beberapa  berbuka bersama.  Abang dan kakak yang lain ada je dengan kami, bertemanlah puasa kali ini.  

Persiapan Syawal kami pun seadanya sahaja.  Tahun ni plan nak balik beraya di Melaka.  Cuti semua dah diluluskan.  Keperluan pun dah buat.  Tunggu masanya je nanti nak bergerak pulang.  Dapat pulang  beraya dua tiga hari pun dah besar rahmatnya sebab bukan mudah nak berkumpul semua adik beradik.

Sepanjang Ramadan ni, kami jarang sangat memasak ketika berbuka puasa.  Hanya di awal-awalnya sahaja rajin sedikit sebab bercuti.  Bila dah mula masuk ofis balik, memang banyak membeli sahaja.  Tapi waktu sahur, wajib masak. Selera sedikit bila makan masakan panas.

Jom akak share beberapa juada berbuka puasa kami setakat ini.  Tak adalah yang istimewa sangat, yang simple sahaja...ada lauk, kuih dan buah-buahan.  Akak memang biasa berbuka dengan nasi, jadi kena adalah lauk satu atau dua jenis.  En suami dan anak-anak, ikut selera masa tu, kalau rasa nak makan nasi, mereka makan nasi, kalau tidak, makan kuih muih sahaja.  

Sepanjang Ramadan ni, baru 2,3 kali akak singgah bazaar.  Biasanya en suami atau pun anak yang singgah. Malas nak bersesak. Tapi tahun ni nampak macam kurang sesak di bazaar Ramadan yang selalu kami singgah, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Antara kuih muih yang biasanya menjadi pilihan en suami.  Makan kuih ni sekeping dua pun dah kenyang.

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Tauhu bergedil ni antara yang kami minat.  Tapi tak semua menepati rasa.  Biasanya sebekas ni ada 6 ketul cukup untuk kami anak beranak.

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Kalau tak beli tau bergedil, maka murtabak nilah pilihan ganti.  Anak-anak memang suka makan murtabak.  Rating murtabak dalam keluarga kami memang atas sekali sepanjang Ramadan, tambahan pula kalau ada di bungsu.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Hari tak membeli, kita memasak.   Stok bahan mentah memang sentiasa kena ada serba sedikit. Termasuk juga sepapan telur.  Telur antara bahan paling laku keras.  Ikan siakap sweet sour.  Campak-campak apa saja bahan yang ada.

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Kerabu sotong hasil tangan en suami.  Bila ada menu masam-masam ni, berselera jugalah makan.  Tambah dengan telur dadar pun dah cukup. Kerabu ni akak ratah je.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Udang goreng cili berempah.  Menu waktu sahur. Satu lauk sahaja. Makan waktu panas-panas.   Sepinggan ni untuk lima orang makan.  Makan lauk je lebih kali ni, nasi memang paling kurang. Masak satu cawan pun kadang-kadang tak habis.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Hari ke 10 Ramadan, keluarga sebelah en suami buat kenduri tahlil dan majlis berbuka puasa.  Kami buat di masjid sahaja.  Dah beberapa tahun juga buat di masjid, sebelum tu biasanya buat di rumah kampung.  Semenjak MIL menetap dengan anak-anak, majlis ni kami jalankan di masjid sahaja.  Ini adalah aktiviti tahunan keluarga sebelah en suami.  

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Kali ni BIL yang uruskan.  Makanan pihak masjid yang buat tempahan, kuih muih ada yang kami kongsi bawa bersama. Alhamdulillah tahun ni dapat dah tunaikan permintaan MIL.



Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Hari yang sama merupakan birthday kak Amira. Selepas majlis di masjid, kami singgah cari kek di SR.  Dapatlah beberapa potong, sebagai tanda meraikan.  Nanti kita celebrate lain bila semua ada bersama.  Tahniah juga untuk kak Amira, untuk sekian kalinya mendapat sijil dekan.  Terus pulun untuk dapatkan first class degree..in syaAllah kami doakan.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Cucoq udang buat sendiri.  Tepung kurang, udang lebih. 

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

En suami suka sungguh makan kuih lopis pulak kali ni. Dapat kuih ni cukuplah untuk dia berbuka.  Macam-macam selera bulan Ramadan ni.  Masa kecil dulu rajin juga bantu arwah mak buat kuih lopis.  Nak kena asah skill balik lah kalau ada ramai peminat.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Hari Nuzul Quran minggu lepas, sekolah adik Wan buat majlis iftar bersama keluarga.  Pertama kali diadakan majlis sebegini.  Oleh kerana jatuh pada hari Sabtu, kami pun join sekalilah.   Bentang tikar makan ramai-ramai.  Meriah juga. 

Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Menu utama nasi arab, pihak PIBG yang uruskan.  Ada juga kuih muih dan air balang.  Kami singgah juga ke pasar Ramadan beli bekalan untuk adik Wan.  


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Macam ni kami sekeluaga waktu berbuka.  Setakat ini dapat lagi berbuka semeja walaupun tak cukup ahli.  Abang Irfan dah mula tagging posting baru di hospital jadi dapat beberapa hari sahaja berbuka sekali. Masuk kerja jam 7 pagi, pulang selepas 10 malam, tengok orangnya pun letih.  Macam tulah kehidupan seorang doktor  muda.  Moga terus kuat semangat, kami doakan yang terbaik.


Ramadan 2026, iftar dengan keluarga

Satu lagi makanan kegemaran ialah popia.  Ada yang suka bergoreng tapi akak lebih suka yang basah.

Hari ni PMX umumkan tambahan cuti sehari lagi.  Kena susun semual cuti selepas pengumuman tarikh 1 Syawal nanti.  Apapun alhamdulillah dapatlah anak-anak yang baru bekerja ni cuti lama sedikit. 

Hari ni pula perancangannya nak berbuka di rumah kakak ipar bersama MIL.  Tahun ni MIL beraya dengan kakak ipar dahulu.  Dah masakkan satu menu tinggal nak pack sahaja.

Baginilah sepanjang Ramadan ni.  Lepas ni tak tahu bila pulak akak nak update post baru.  Korang jangan jemu singgah yer !

Selamat berbuka puasa  semua...




0 Comments