Assalamualaikum wbt.  Salah satu azam akak tahun ini adalah untuk memperbaiki pengurusan kewangan keluarga. Selagi ada kesedaran, masih belum terlambat. Salah satu yang akak nak tengok semula adalah tabungan kami.  Anak-anak memang dah diajar untuk membuat tabungan sendiri sejak kecil lagi. Selepas mereka menginjak ke sekolah rendah akak lepaskan tanggungjawap tersebut pada mereka sendiri. Setiap hari persekolahan, mereka perlu plan sendiri berapa nak guna berapa nak simpan.  Bila jumlah dah memadai, kita  masuk dalam bank.  Anak-anak pun pandai jugak, bila ada lebihan seperti hari perayaan atau dapat result cemerlang, mereka akan `reward' diri mereka sendiri dengan sebahagian daripada simpanan mereka, biasanya kami top up sedikit.


tabungan harian, tabungan syiling, menyimpan wang, tabungan hijau


Ada pelbagai cara tabungan yang boleh korang buat untuk tingkatkan simpanan.  Ada yang buat tabungan travel, emergency dan macam-macam lagi.  Dalam banyak cara yang akak baca, akak berminat dengan 3 cara tabungan berikut.

Tabungan Mengikut Warna Wang Kertas

Mesti korang pernah terbaca tentang tabung hijau, tabung biru, tabung oren dan sebagainya. Tabungan mengikut warna wang kertas. Untuk tabungan ini, disarankan biarkan guna warna yang jarang kita terima dan tidak sampai menyusahkan diri sendiri.  Misalnya warna hijau dan oren. Akak dah mulakan tabungan hijau ni sejak tahun lepas lagi. tapi sekerat jalan saja.  Hijau ini merujuk kepada nilai wang lima ringgit. Jadi tahun ni kena mulakan semula.

Tabungan Syiling

Tabungan jenis ni memang dah kita amalkan sejak kecil lagi. Betul tak? Mesti korang ada tabung ayamlah, tabung buluhlah. Akak dulu masa kecil gunakan tin susu aje jadi tabung. Senang simpan senang jugak nak keluarkan semula..haha..

Tabungan syiling ni rasanya mudah sangat.  Setiap penghujung hari sebelum tidur, mana-mana duit syiling yang ada dalam wallet tu masukkan saja dalam tabung. Bila dah penuh tak perlu susah-susah nak kira, bawa saja ke bank yang ada mesin untuk simpanan wang syiling, biar mesin yang kira. Lepas tu punch in kan masuk dalam akaun bank.

Nak lebih menarik, boleh simpan syiling dalam botol-botol kecil yang selalu kita dapat masa kenduri kahwin. Penuhkan sebanyak mana botol yang mampu, mesti nampak menarik bila susun banyak-banyak kan.


tabungan harian, tabungan syiling, menyimpan wang, tabungan hijau

Tabungan 52 Minggu

Yang inipun menarik juga. Rasa macam berminat nak challenge diri sendiri untuk menabung mengikut minggu. Setahun ada 52 minggu. Setiap minggu kena ada tabungan. Minggu ni kita mulakan dengan tabungan RM1 sahaja. Minggu ke dua dengan RM2 dan seterusnya sampai minggu ke 52. Mula-mula memang rasa senang sebab nilainya kecil. Bila dah makin besar baru terasa challenge nya.Sapa nak join akak?

Satu lagi tabungan yang kami kongsi untuk semua ahli keluarga ialah tabungan masjid. Ikut suka berapa yang nak dimasukkan dan tiada had waktu.  Setiap Jumaat atau sebulan sekali, kami akan keluarkan dan masukkan dalam tabung masjid.

Tak kisahlah apa cara sekalipun yang korang gunakan untuk tambahkan tabungan korang. Yang paling penting kenalah istiqomah dan kuat semangat supaya ianya mencapai matlamat asal yang korang dah set.


0 Comments