Assalamualaikum wbt.  Cuti-cuti memang macam-macam menu yang kami sekeluarga buat kat rumah.  Boleh dikatakan hari-hari dok memikir nak masak apa. Tambah-tambah bila akak pun cuti. Dari pagi, tengahari dan malam keluar masuk dapur.  Tapi bila virus M datang tu, yang pagi dan tengahari selalunya digabungkan.

Nasi Lemak Sambal Bilis

Ramai yang pandai masak nasi lemak kan? Paling senang kalau nak cepat.  Biasanya nasi lemak paling mudah dipadankan dengan sambal bilis.  Kalau rajin sikit bolehlah buat sambal kerang, sotong kering, ikan talang masin, rendang ayam  ataupun rendang daging.  Apapun yang jadi pilihan mesti ada juga telur rebus, ikan bilis goreng atau kacang goreng serta timun potong. Akak suka makan nasi lemak dan sambal bilis. LEGEND!


nasi lemak sedap, sambal bilis sedap, resepi ringkas

Rahsia Nasi Lemak Sambal Bilis Sedap

Ini rahsia akak. Nak share sini mana tahu nanti bila anak-anak dah besar mereka nak buat sendiri ala-ala nasi lemak bonda, bolehlah rujuk kat sini.  

Biasanya nasi lemak yang akak masak, antara bahan yang akak masuk adalah beberapa butir halba, lada hitam, beberapa helai daun kari, sepotong halia, sebiji bawang besar yang dibelah empat. Kalau masak menggunakan beras basmathi, akak akan masukkan juga daun salam. Selainnya sama saja mesti ada santan dan nak bagi bau yang wangi jangan lupa masukkan sehelai daun pandan.

Bagaimana dengan sambali  bilis?
Satu ketika dulu akak memang fail bab masak sambal bilis ni. Samada terlebih pedas atau tak pekat berminyak. Tapi bak kata orang alah bisa tegal biasa, kenalah rajin mencuba sampai jaya.  Dapat ilmu daripada en hubby the chef jugak.  Nak bagi sambal bilis yang sedap, goreng sedikit dahulu ikan bilis. Jangan jadi sampai garing, cukup setakat berminyak sedikit.  Ambil agak-agak 7-8 ekor bilis dan kisar bersama bawang merah dan putih yang nak dijadikan bahan tumis. Tumis sekali sampai naik bau sebelum masukkan cili kisar.  Biar pecah minyak baru masukkan sedikit belacan dan asam jawa.  Akhir sekali baru masukkan semula ikan bilis tadi. Yang lain-lain tu sama saja, gula garam secukup rasa.

Cuba korang buat, mesti sambal korang nampak pekat dan menarik.  Apa pulak agaknya rahsia korang untuk dapatkan sambal bilis yang sedap dan menarik?

1 Comments